Raja dan Yang di-Pertua Negeri adalah institusi penting dalam jentera pentadbiran Kerajaan Negeri. Raja-Raja yang memerintah Negeri Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu dikenali sebagai Sultan, manakala Perlis baginda dikenali sebagai Raja dan di Negeri Sembilan sebagai Yang Dipertuan Besar. Takhta Kerajaan Negeri ini diwarisi secara turun temurun dan ditentukan oleh adat yang berbeza di setiap negeri. Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak diperintah oleh Yang di-Pertua Negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi setiap negeri menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri dan Majlis Mesyuarat Negeri seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri.
Dalam konteks Perlembagaan Persekutuan, Ketua Negara merujuk kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Ketua Negeri pula Duli Yang Maha Mulia Raja dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri . Meskipun institusi ini bukan badan yang dianggotai oleh wakil-wakil yang dipilih seperti parlimen atau kabinet namun ia mempunyai peranan penting dalam perlembagaan.
Raja atau sultan bagi sembilan buah negeri yang menjadi ketua negeri, memegang jawatan atas dasar keturunan dan tertakluk kepada perlembagaan negeri-negeri berkenaan serta bersemayam seumur hidup. Yang di-Pertua Negeri bagi empat buah negeri adalah ketua negeri yang dilantik dan memegang jawatan untuk tempoh empat tahun.
Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri ataupun dahulunya dikenali sebagai Gabenor merupakan ketua negeri di 4 negeri di Malaysia iaitu Melaka, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.
Yang di-Pertua Negeri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Ketua Menteri kerana negeri-negeri ini tidak mempunyai Sultan. Yang di-Pertua Negeri dilantik selama sepenggal atau empat (4) tahun dan boleh dipanjangkan mengikut kesesuaian. Beliau tidak dibenarkan memiliki perniagaan atau keuntungan dan tidak dibenarkan juga bergiat aktif di dalam mana-mana aktiviti komersial.
Yang di-Pertua Negeri merupakan komponen Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mempunyai kuasa untuk mengadakan perhimpunan atau pembubaran Dewan Undangan Negeri. Persetujuan beliau adalah diperlukan bagi meluluskan Dewan Undangan Negeri. Yang di-Pertua Negeri juga merupakan Ahli Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa mentadbir negeri dipikul oleh Yang di-Pertua Negeri tetapi fungsi-fungsi pentadbiran boleh diserahkan kepada pihak lain dari segi undang-undang. Gabenor akan melantik ahli Exco bagi menasihati beliau dalam menjalankan peranannya.
No comments:
Post a Comment